Mudir Sekolah Agama Rakyat ar-Ridhwaniah Sabran Asmawi

Selain daripada berkhidmat sebagai wakil rakyat, dalam masa sama Allahyarham TG berkecimpung dalam arena persekolahan di mana Allahyarham TG menggunakan sebaik-baiknya kemahiran dalam kepimpinan organisasi serta pengurusan yang telah diamanahkan itu dengan penuh dedikasi dan cermat. Allahyarham TG dilantik sebagai Pengetua atau Mudir (المدير) atas persetujuan Pengerusi serta Ahli Jawatan Kuasa (AJK) di mana pada ketika itu, Allahyarham TG menyambung kesinambungan kepimpinan Sekolah yang sebelum itu diterajui oleh Allahyarham al-Fadhil Tuan Guru Haji Abdul Qadir Bin Kahar. Antara Pengerusi dan AJK yang terlibat dalam melantik Allahyarham TG sebagai Mudir adalah Ustaz Abdul Samad Bin Ishak dan Allahyarham Ustaz Yusuf Bin Ijok. 

Allahyarham TG mula menjalankan tugas sebagai Mudir SAR Ma’ahad ar-Ridhwaniah (ﻣﻌﻬﺪ الرضوانية), Telok Medan pada awal bulan Januari tahun 1995 sehingga pada bulan Disember 2005. Telah memegang jawatan sebagai Mudir selama lebih kurang 10 tahun dan selama itulah Allahyarham TG menggunakan sebaik mungkin tugas yang telah diamanahkan itu. 

Pada permulaan Allahyarham TG ditugaskan sebagai mudir, perkara utama yang ditekankan ialah dari segi akhlak kepada guru-guru serta anak murid. Akhlak memainkan peranan yang amat penting dalam diri setiap manusia. Apabila sesorang itu menonjolkan akhlak ataupun sikap yang baik, dirinya dipandang mulia. Pada masa yang sama juga, diri perlu ada sikap jujur serta ikhlas melakukan sesuatu. Ini selaras dengan didikan yang telah diberikan oleh Allahyarham TG kepada guru-guru serta anak muridnya di sekolah. 

Selain itu juga, Allahyarham TG menekankan sikap hormat-menghormati antara satu sama lain. Guru-guru serta anak murid diajar untuk saling hormat-menghormati supaya dapat melahirkan insan yang baik akhlak serta berbudi bahasa. Sikap yang baik serta akhlak yang mulia ini juga ditonjolkan oleh Allahyarham TG itu sendiri. Beliau merupakan role model serta contoh kepada guru-guru serta anak murid.

Hampir mencecah kepada 1000 anak murid yang datang ke Ma’ahad Ar-Ridhwaniah untuk menuntut ilmu pada awal kepimpinan Allahyarham TG di sekolah tersebut. Mereka ada yang datang dari Selatan, Timur, Barat serta Utara Malaysia malahan ada juga yang datang dari Acheh, Indonesia dan Thailand.

Di SAR Ma’ahad ar-Ridhwaniah juga terdapat sistem pengajian Sekolah pondok di mana Pengerusi pada ketika itu ialah Ustaz Ahmad Bin Acil. Sistem Pengajian Pondok (SPP) ini dibuka atas tujuan pengukuhan ilmu dalam bidang Agama. Ramai anak murid yang berminat untuk meneruskan pengajian dalam SAP ini kerana mereka lihat dari segi tingginya nilai ilmu warisan dari tok-tok guru yang alim yang kebanyakkan berasal dari SPP. Sememangnya di akui bahawasanya, ilmu agama SPP ini agak sukar untuk dikuasai serta diperolehi. Ia sangat menuntut kesungguhan para pelajar menumpukan daya ingatan yang tinggi untuk mereka menghafal Kitab kecil bagi memahirkan penguasaan dalam ilmu nahu (ﻧﺤﻮ) dan saraf (ﺻﺮف) bahasa Arab. Kitab kecil atau disebut Matan seperti Matan as-Sanusiah (ام اﻟﺑﺮاﻫﻳﻦ ﻣﺗﻦ ﺳﻨﻮﺳﻴﻪ), Dommun (ﻀﻢ ﺳﺮت ﻣﺪﺧﻞ), al-Jarumiah (اﻟﻣﺗﻦ الاﺟﺮوﻣﻴﻪ), Zubad (زﺑﺪ) dan lain-lain adalah yang lazim digunakan oleh kebanyakkan SAP. Tidak ramai yang mampu menguasainya dengan baik, melainkan hanya mereka yang betul-betul tekun, rajin berusaha, istiqamah dalam menuntut sahaja yang mampu melakukannya.

Selain membuka Sekolah Agama serta SPP, pihak sekolah juga membuka penempatan tempat tinggal untuk warga emas. Warga emas di tempatkan khas untuk mereka menuntut ilmu yang diajar oleh Allahyarham TG sendiri serta Ustaz-Ustaz di Surau secara umumi.

Di antara kitab yang biasa digunakan oleh Allahyarham TG ialah Kitab Tafsir Hasyiah As-Sowi ‘ala Tafsirul Jalalain Syarhul ‘alamaatil Syeikh, Ahmad As-Sowi Al-Maliki, Bikitab Libaabil Naqul fii Asbabil Nuzul Li Soyuuti (ﺣاﺸﻴة اﻟﺼاوي اﻟﻤاﻠﻜﻲ ﻟﺑﺎب اﻟﻧﻗﻮل ﻓﻲ أﺳﺑﺎب اﻟﻧﺰول للسيوطﻲ) dan Tahzibu Athrofil Hadithi Bisyarhi ma Fii Kitab Mukhtar al-Hadith (ﺗﻬﺬب اﻟﻃﺮا ﻓﻲ الحديث ﺑﺸﺮه ﻣﺎ ﻓﻲ ﻛﺗﺎب الحديث), Karangan al-Ustaz Al-Haj ‘Abdul Halim Al-Hadi. Dua kitab ini sangat famous digunakan oleh Allahyarham TG untuk mengajar. Selain itu, terdapat kitab lain yang digunakan oleh Allahyarham TG untuk mengajar seperti kitab Feqah, Tauhid, Nahu dan Saraf.

Allahyarham TG dapat membuat perubahan dari segi sektor prasarana sekolah. Hasil daripada kegigihan beliau serta sokongan dari pelbagai pihak seperti guru-guru, anak murid, ibu bapa serta masyarakat sekeliling untuk memajukan sekolah, maka pada tahun 1998, satu bangunan kelas dua tingkat dapat dibangunkan untuk kemudahan para pelajar bagi menuntut ilmu.

Allahyarham TG berusaha keras untuk mencari dana sekolah bagi menampung perbelanjaan sekolah untuk membayar bil-bil seperti air serta elektrik dan memperbaiki peralatan yang telah rosak digunakan. Antara dananya ialah, 14 ekar kebun kelapa sawit di wakafkan atas nama sekolahnya. Selain itu, juga terdapat koperasi sekolah dibuka untuk kemudahan bagi pelajar untuk mendapatkan barangan peralatan sekolah. Beliau juga ada membuat sumbangan peribadi di mana sumbangan tersebut diberikan kepada guru-guru. Sumbangan ikhlas daripada mana-mana pihak yang berhati muliai juga dikira sebagai dana untuk menampung pembelanjaan sekolah.

Allahyarham TG selalu berpesan kepada anak muridnya di dalam perhimpunan yang diadakan pada setiap minggu. Antara pesanan yang sering Allahyarham TG sampaikan ialah:

  1. Menuntutlah ilmu selagi roh dikandung badan.
  2. Perbezaan manusia antara manusia yang lain ialah dari segi ilmunya.
  3. Selagi ada peluang untuk menuntut ilmu, carilah seberapa banyak mana mungkin.
  4. Pelihara akhlak sebaik mungkin serta menghormati antara satu sama lain.

Empat elemen ini amat dititik beratkan oleh Allahyarham TG kepada kesemua murid. Ternyata segala pesanan yang disampaikan, amat mementingkan hubungan di antara manusia dengan Allah Ta'ala serta hubungan manusia sesama manusia.  

Allahyarham TG sangat disegani oleh para guru serta anak muridnya. Ini kerana dari segi tingginya ilmu yang dimiliki Allahyarham TG dilihat sentiasa selari dengan apa yang sering dipesankan:

"Perbezaan manusia dengan manusia ialah dari segi ilmunya. Bukanlah kita untuk bermegah-megahan dengan apa yang kita ada, tetapi pada masa yang sama dengan ilmulah, kita dapat membentuk akhlak serta keperibadian yang mulia"

Allahyarham TG mengambil pendekatan yang sangat praktikal untuk merapatkan ukhuwah sesama guru-guru serta anak muridnya seperti mengadakan program Qiyamullail (اﻟﻔﻴﺎﻢاﻟﻴﻞ) bagi mengajar anak muridnya. Program ini bukan berlangsung di dalam surau, tetapi ia berlangsung di padang sekolah. Betapa ramai anak muridnya serta guru-guru membanjiri padang sekolah untuk sama-sama mengerjakan qiyamullail tersebut.

Sepanjang pentadbiran Allahyarham TG, segala aspek pengurusan sekolah telah dapat berjalan dengan baik dan lancar. Namun atas faktor kesihatan yang kurang mengizinkan Allhayarham TG untuk bergiat cergas, maka pada penghujung bulan Disember  tahun 2005, Allahyarham TG secara sukarela melepaskan jawatan sebagai Mudir SAR Ma’ahad ar-Ridhwaniah untuk memberi laluan kepada guru lain untuk meneruskan usaha memajukan lagi SAR ar-Ridhwaniah.

Rujukan

WikiPedia: Sabran Asmawi http://quran.al-islam.com/Targama/DispTargam.asp?n... http://www.mail-archive.com/harakahdaily@yahoogrou... http://www.ijn.com.my http://www.karyanet.com.my/knet/ebook/preview/p_Ma... http://www.pilihanraya.com.my http://www.utusan.com.my/utusan/arkib.asp?y=2005&d... http://www.utusan.com.my/utusan/arkib.asp?y=2008&d... http://www.utusan.com.my/utusan/arkib.asp?y=2008&d... http://www.utusan.com.my/utusan/arkib.asp?y=2008&d... http://mufti.penang.gov.my/ahlijawatankuasa.htm